BAGHDAD - Seorang wartawan bertindak melempar sepasang kasutnya ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush ketika pemimpin itu melakukan lawatan perpisahan ke Iraq kelmarin.
Muntazer al-Zaidi bangun ketika Bush sedang mengadakan sidang akhbar dengan Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki dan kemudian melempar sebelah kasut yang dipakainya.
“Ini ciuman selamat tinggal untuk kamu anjing,” jerit Muntazer ketika melempar kasut ke arah Bush.
Bush terpaksa menundukkan kepala bagi mengelak lemparan itu dan kasut tersebut mengenai bendera AS dan Iraq yang berada di belakang kedua-dua pemimpin itu.
Lemparan kasut yang sebelah lagi tersasar jauh.
Muntazer, seorang wartawan untuk saluran Al-Baghdadia yang beroperasi dari Kaherah, kemudiannya segera dijatuhkan oleh pengawal keselamatan di situ dan dia kemudian dibawa keluar dari bilik sidang akhbar itu.
Melempar kasut dalam budaya Arab adalah perbuatan yang dianggap menghina seseorang.
Bush dilaporkan ketawa apabila ditanya tentang insiden itu dan tidak memberikan sebarang ulasan lanjut.